BACA! Antara Isteri dan Ibu Sendiri?


Mesti ramai suami isteri terpanggil untuk membaca artikel kali ini, sesiapa pun pernah mengalami situasi berkenaan yang sukar untuk si suami memilih antara suami mahupun isteri. Kami bagi tips-tips yang bagus untuk si suami menilai antara isteri dan ibu.

“Ustaz nak uji sikit boleh?” tanya Ustaz Wan kepada saya sambil tersenyum.

“Uji apa pula Ustaz?” tanya saya kehairanan.

“Uji tentang ilmu baitul muslim la, Sham kan tak lama lagi nak menamatkan zaman bujang.” Jelas Ustaz Wan. Masih tersenyum.

“Oh, kena uji-uji pula ye Ustaz, haa, tanyalah, saya ada juga baca buku, insyaallah boleh jawab soalan ustaz punya.” Balas saya dengan penuh keyakinan.

“Jangan yakin sangat.” Celah Ustaz Wan, seakan dapat membaca fikiran saya.

“Ok, Ustaz nak tanya, katalah tiba-tiba berlaku dalam rumahtangga, mak si lelaki minta anaknya untuk ceraikan isterinya, apa tindakan yang lelaki tersebut perlu buat?” Soal Ustaz Wan.

Saya terkejut, tidak sangka soalan begini pula yang dikeluarkannya.

“Ish Ustaz ni, pelik betul soalan, tak ada soalan lain ke.” Saya cuba membantah.

“Jawab soalan Ustaz yang ini dulu.” Arahnya, membuatkan saya menggaru kepala yang tidak gatal.

“Hmm, tak boleh la kot Ustaz kan.” Saya berfikir dan menyerkap jarang. Menjawab dengan logik dan pengalaman yang mentah.

“Kalau Ustaz kata ada dalil dalam hadis yang membolehkan perkara ini berlaku, macamana?”
Saya tersentak.

“Eh, ada dalil, biar betul Ustaz?”

“Ustaz, saya ‘surrender’ lah, tak tahu lah nak jawab soalan begini, kalau tanya rukun nikah tu tahu la saya. Tapi, kenapa Ustaz tanya begini?” Saya menyerah kalah.

“Baiklah, Ustaz terang dulu kenapa Ustaz tanya.”

“Ikut pengalaman Ustaz, dan ramai juga kawan-kawan ustaz yang lain, banyak krisis rumahtangga yang berlaku akibat campurtangan ibu bapa dalam rumahtangga.”

“Akhirnya rumahtangga jadi kacau bilau bila suami tidak cukup ilmu, tidak ada pendirian dalam rumahtangga untuk menangani krisis dengan ibu bapa hingga menyebabkan akhirnya banyak perceraian berlaku akibat campurtangan keluarga.”

“Tadi Ustaz kata ada dalil?” saya mencelah. Masih keliru.

“Benar, ada dalil dari hadis tentang pertanyaan sahabat kepada Rasul, ada juga kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, juga ada dalil tentang Saidina Umar dan anaknya yang kesemua kisah ini menceritakan tentang arahan untuk menceraikan isteri.” Terang Ustaz Wan, tanpa memperincikan hadis tersebut.

“Cuma, aplikasi dari kisah-kisah tersebut yang diriwayatkan daripada hadis, tidaklah boleh diaplikasikan terus dalam kehidupan umat Islam tanpa pemahaman yang jelas tentang banyak perkara.”

“Ketaatan kepada kedua ibu bapa memang suatu yang wajib, tapi tidak dalam bermaksiat kepada Allah. Terlalu menurut kehendak ibu bapa sehingga menzalimi isteri adalah jelas suatu perkara yang bercanggah dengan agama.”

“Nabi tidak pernah mengajar kita begitu kerana baginda adalah yang terbaik terhadap isteri-isteri baginda dan pada masa sama insan yang paling tegas dalam menyuruh anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Jelas Ustaz Wan, membuatkan saya termenung panjang.

Tidak saya sangka bahawa pesanan seorang murabbi 8 tahun yang lalu rupanya adalah realiti kehidupan rumahtangga yang saya lihat hari ini.

Banyak krisis yang berlaku dalam rumahtangga berpunca akibat gagalnya suami mengimbangkan tanggungjawab sebagai seorang anak dan seorang suami.

Ada yang menganggap bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah segala-galanya, sehingga segala kehendak ibu bapa dituruti hingga menyebabkan isteri terluka dan dipinggirkan.

Ada pula yang mengenepikan ibu bapa kerana terlalu sayang kepada isteri. Ibu bapa terluka, si anak terjatuh dalam lembah derhaka.

“Lepas kahwin nanti Sham, kena pandai dan kena kuat emosi dan rasional, kena ada pendirian.” Sambung Ustaz Wan lagi setelah melihat saya terdiam.

“Ustaz bagi contoh, kalau lepas kahwin, ibu suruh kita duduk serumah, hingga menimbulkan kegelisahan isteri sebab terkongkong dari segi aurat dengan ipar dan rasa tak selesa kerana selalu dinilai oleh mertua dalam apa jua tindakan.”

“Banyak kes begini berlaku, hingga menyebabkan isteri hilang sabar dan akhirnya menuntut cerai.”

“Dalam kes begini, suami kena pandai berbincang dan buat pertimbangan. Mungkin tak perlu tinggal serumah pun, hanya memadai dengan ziarah kerana ibu masih sihat dan ada anak-anak lain yang menemani.”

“Lainlah kalau ibu sakit atau ada sebab-sebab dharuri yang memerlukan untuk tinggal sekali.”

“Jangan atas nama ‘Birr Walidain’ (berbuat baik kepada ibu bapa), kita menzalimi dan menyakiti hati isteri.”

“Kena ada pendirian, kena selalu berbincang bila ada masalah.”

“Begitu juga kalau isteri naik kepala. Merajuk tak tentu hala bila di ajak pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa yang sedang sakit dan memerlukan perhatian. Tak suka untuk berbuat baik kepada ibu bapa suami.”

“Dalam kes begini, suami kena tegas dengan isteri. Kasih kepada isteri tidak harus menyebabkan ibu bapa dilukai hatinya. Jangan atas nama berbuat baik kepada isteri, hak ibu bapa semuanya dilanggar.” Jelas Ustaz Wan lagi.

Saya mengangguk perlahan, dan hari ini saya mengangguk lagi mengingatkan pesanannya.

Banyak kes-kes perceraian yang berlaku akibat campurtangan keluarga. Kisahnya mungkin berbeza, tapi puncanya adalah sama iaitu suami tidak ada ilmu dan tidak ada pendirian dalam rumahtangga.

Gagal mencari imbangan tanggungjawab antara isteri dan ibu sendiri.

Lemah. Suami adalah ketua dan pemimpin keluarga, baik sang suami, baiklah rumahtangga, buruk sang suami, hancurlah rumahtangga.

Apapun kepada sang suami di luar sana imbangi antara tanggungjawab terhadap isteri dan ibu sendiri, perbincangan secara berhemah dapat membuahkan keputusan yang mantap.

sumber : http://hisham79.blogspot.com/
0 Komentar untuk "BACA! Antara Isteri dan Ibu Sendiri?"